Sunday, September 15, 2019

Pembacaan Cepat


Teknik Membaca: Pembacaan Cepat
            Membaca adalah satu cara bagi mendapatkan informasi daripada sesuatu yang ditulis. Sebagai pelajar, membaca menjadi satu keutamaan bagi mendapatkan maklumat dan memahami sesuatu perkara atau konsep. Bagi menjadikan pembacaan kita berkesan, kita hendaklah menguasai beberapa teknik membaca yang betul dan sesuai dengan keupayaan kita. Teknik pembacaan terbahagi kepada dua, iaitu pembacaan cepat dan pembacaan perlahan.
            Pembacaan cepat merujuk kepada kaedah membaca tanpa memerhatikan setiap perkataan dengan teliti. Tujuan pembacaan cepat adalah untuk mencari maklumat daripada sesuatu sumber dengan efektif dan pantas serta mengenalpasti isi-isi tertentu dengan cepat dan secara menyeluruh. Pembacaan cepat merujuk kepada bacaan secara skimming dan bacaan secara scanning.

            Teknik skimming atau luncuran adalah satu kemahiran membaca bagi seseorang yang ingin mendapatkan maklumat atau bahan secara ringkas dan pantas. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat ringkas tetapi menyeluruh mengenai sesuatu bahan atau dokumen sekali gus membuat pandangan umum mengenai dokumen dengan segera.
            Membaca ‘secara sekilas’ (skimming) kebiasaannya dilakukan dengan membaca tajuk, sub-tajul, pendahuluan dan rumusan bahan atau dokumen serta dengan melihat gambar rajah dan carta. Bacaan skimming juga boleh dilakukan dengan membaca menggunakan pergerakan mata yang cepat dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bahan yang dibaca. Skimming amat penting bagi pelajar untuk mencari maklumat atau informasi melalui internet kerana dapat menjimatkan masa dalam pembacaan. Hal ini kerana skimming dilakukan 3 atau 4 kali lebih cepat daripada pembacaan normal. Sebagai contoh, bahan bacaan seperti surat khabar, nota untuk persediaan peperiksaan, artikel di Internet dan sebagainya. Kaedah ini juga sesuai kepada individu yang kesuntukan masa untuk mencari maklumat yang banyak.
            Teknik scanning atau imbasan merupakan kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan mendalam berbanding skimming. Tujuan bacaan ini adalah untuk mendapatkan maklumat tertentu sebagai jawapan kepada persoalan dan mengenalpasti isi keseluruhan tajuk. Fokus pembacaan adalah membaca pendahuluan dan rumusan teks secara mendalam, membaca kandungan bab dengan pantas sambil mencatat kata kunci dan konsep yang dinyatakan sekali gus memberikan perhatian kepada rajah dan grafik.
            Dengan menggunakan ‘kaedah sepintas lalu’ (scanning), pelajar dapat mengetahui istilah-istilah yang baharu dan mereka dapat mencari pengertian perkataan tersebut. Pelajar juga mampu membuat keputusan dalam menentukan tahap kepentingan istilah, konsep dan bahagian dalam teks yang memerlukan perhatian ketika pelajar membuat ulang kaji. Dengan ini, mereka dapat menjimatkan masa apabila mereka perlu membuat pembacaan sebenar atau bacaan berat untuk pemahaman kerana pembacaan ini hanya melibatkan masa yang tidak lebih daripada beberapa minit. Scanning juga melibatkan pergerakan anak mata dengan cepat untuk mencari perkataan khusus atau frasa-frasa tertentu. Kebiasaannya, imbasan ini merupakan satu kaedah cepat untuk mendapatkan fakta tertentu dalam buku teks atau buku rujukan.
            Kesimpulannya, bacaan secara skimming dan scanning amat membantu untuk semua individu kerana dapat menjimatkan masa dan membolehkan pelajar belajar secara efektif dan efisien. Apabila kita hendak mengetahui apa yang ingin dipelajari dalam sesuatu topik, kaedah scanning diperlukan bagi mencari kata kuncinya. Setelah menemukan kata kunci, kaedah skimming pula digunakan untuk mendapatkan pemahaman secara sederhana dan cepat tentang topik tersebut.


NURUNNISA BINTI ABDUL KHALIL FADZLI

No comments:

Post a Comment